3 sebab kenapa ASB masih berbaloi?

unit trust Jul 28, 2023

 ASB merupakan antara platform alternatif yang menjadi pilihan orang ramai untuk menyimpan duit selain di dalam bank. Bukan itu saja, disebabkan kelebihan ASB sebagai platform pelaburan berisiko rendah, ramai dalam kalangan bumiputera mengambil kesempatan untuk membuat simpanan dalam ASB.

 

Dalam erti kata lain, dalam ASB anda bukan saja menyimpan. Malah anda membuat pelaburan dalam masa yang sama. Kalau anda melabur RM100, duit anda tidak akan berkurang sampai bila-bila. Lagi menarik, duit yang anda laburkan itu akan bertambah kerana berpotensi untuk memperoleh dividen setiap tahun.

 

Tapi sayang, ada segelintir berpandangan bahawa sudah tidak berbaloi dan tidak relevan lagi untuk menyimpan duit dalam ASB. Jadi, artikel kali ini saya akan berkongsi tentang 3 sebab kenapa ASB masih berbaloi supaya anda boleh menapis tanggapan buruk tentang instrumen ini.

 

Sebab #1 Sebagai tabung kecemasan

Sebelum anda buat sebarang pelaburan, tabung kecemasan adalah sangat penting. Saya sendiri banyak kali kongsikan dalam video di Youtube Dr Adam Zubir malah beberapa artikel, betapa pentingnya tabung kecemasan untuk keperluan masa hadapan.

 

Di mana nak letakkan duit kecemasan?

 

Sudah semestinya ASB antara platform yang sesuai untuk anda. Seperti yang saya katakan di atas, ASB merupakan tempat berisiko rendah. Satu unit ASB bersamaan RM1 dan duit yang anda laburkan ini mendapat jaminan dari kerajaan Malaysia. Kalau ikut style orang lama, mesti duit disimpan bawah bantal, dalam almari dan sebagainya. Tapi! Anda yang ada pendedahan dalam ilmu kewangan, pilihlah ASB sebagai tempat simpan duit. Kita tidak mahu kes yang pernah berlaku pada tahun 2021 di Flat Sri Johor terjadi kepada anda. Wang simpanan RM40,000 hangus dijilat api.

 

Letak dalam ASB lebih selamat dan berbaloi sebab anda boleh nikmati kelebihan dividen yang konsisten setiap tahun. Walaupun tahun kebelakangan ini dividen ASB tidak tinggi jika nak dibandingkan dengan dividen pada tahun 90-an dulu, namun ASB masih konsisten memberi pulangan sejak awal penubuhannya pada 1990.

 

Sebab #2 Sesuai dijadikan tempat pelaburan sementara

Satu perkara yang anda kena jelas. Setiap pelaburan ada tujuan dan metode yang berbeza. Tak semua tempat pelaburan anda boleh masuk terus. Kadang kena tunggu masa yang sesuai untuk melabur duit anda. Contohnya macam hartanah. Sudah pasti anda ada kriteria tersendiri sebelum anda membeli sesebuah hartanah. Sementara anda meneroka rumah yang sesuai dengan citarasa anda, letak dulu duit modal anda dalam ASB. Bila ada peluang untuk laburkan, barulah keluarkan duit tersebut. Ini kerana jika anda gunakan ASB sebagai tempat pelaburan sementara, duit anda tidak akan menjadi negatif. Malah duit tersebut akan bertambah disebabkan dividen tahunan.

 

Macam mana pula kalau simpan sementara duit dalam pelaburan saham?

 

Kalau anda nak tahu, antara perbezaan besar saham dan ASB adalah pada risiko. ASB berisiko rendah, manakala saham berisiko tinggi. Memang saham boleh menjana keuntungan tinggi tapi market saham bersifat tidak menentu.

 

Secara mudahnya, bila anda simpan duit anda secara sementara dalam saham, belum tentu anda boleh dapatkan keuntungan yang tinggi. Belum tentu juga anda dapat semula duit simpanan yang anda laburkan dalam saham. Sebab itu kalau anda tak mahu terdedah dengan risiko kehilangan duit, pilihlah ASB. Confirm duit tak hilang.

 

Sebab #3 Boleh dijadikan sebagai pasif income

Macam saya sebutkan dekat atas, ASB berpotensi untuk beri dividen setiap tahun. Dividen ini masuk dalam kategori passive income. Saya yakin, sesiapa saja mesti suka buat duit secara pasif tanpa penat lelah bekerja. Terutama bagi mereka yang menghampiri usia persaraan. Duit KWSP yang boleh dikeluarkan atau komisen mahupun duit saguhati yang anda dapat, boleh anda masukkan ke dalam ASB. Ini kerana dividen yang diperoleh boleh menjadi sumber pendapatan pasif untuk menampung kehidupan hari tua. Nak tengok simulasi pengiraan pendapatan? Tengok di sini.

 

Secara keseluruhannya, ASB sentiasa menjadi instrumen yang relavan dan berbaloi untuk orang ramai menyimpan duit mereka. 3 sebab yang saya kongsikan dalam artikel kali ini cukup kuat untuk mengelak tanggapan buruk bahawa ASB tidak lagi berbaloi. Mungkin bagi sesetengah orang, dividen yang diperoleh tidak banyak seperti dulu, tapi ASB tidak pernah gagal dan sentiasa konsisten mengagihkan pendapatan setiap tahun. Jangan kerana anda terpengaruh dengan cakap-cakap orang sekeliling, anda tak nampak manfaat yang cukup baik dalam ASB.

 

Sekarang had pelaburan ASB adalah RM300,000 (setakat 2023). Ha, apa lagi? Penuhkan simpanan ASB sekarang. Walaupun anda boleh buat duit lebih banyak dalam instrumen pelaburan lain, keistimewaan rendah risiko kerugian yang ada pada ASB sentiasa mendapat tempat di hati pengguna berbanding platform lain. Moga bermanfaat.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.