5 Sebab Kenapa Perlu Buat Side Income

income Dec 08, 2022

Anda pernah terfikir, kenapa agaknya seseorang yang ada kerjaya yang stabil, masih ada pekerjaan lain pada masa yang lain? Bukan kerana nak isi masa lapang sangat. Tapi kerana mereka faham betapa pentingnya buat side income pada masa sekarang. 

 

Anda sedia maklum side income boleh difahami dengan maksud duit tambahan atau ‘duit tepi’. Kalau dulu mungkin tiada masalah jika anda hanya fokus pada satu income. Tapi mendepani tahun-tahun mendatang yang semakin mencabar, adalah sangat penting untuk saya kongsikan 5 sebab kenapa anda perlu buat side income dalam artikel kali ini.

 

Sebab #1 Rakyat Malaysia tiada simpanan

Bila sebut tentang simpanan, satu kajian telah dibuat terhadap simpanan rakyat Malaysia yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). Faktanya, hanya 75% penduduk negara ini tidak ada simpanan sekurangnya RM1,000. Hal ini suatu perkara yang serius dan kritikal.  Oleh disebabkan itu, side income perlu menjadi solusi paling utama untuk keluar dari masalah ketidakcukupan simpanan.

 

Buat side income supaya anda boleh penuhkan simpanan anda dengan kadar segera. Bila ada banyak sumber, lagi besarlah peluang anda miliki simpanan yang banyak. Saya yakin, Covid-19 yang melanda kita semua pada 2020 dulu, betul-betul memberi kesan yang besar terhadap simpanan. Banyak simpanan terpaksa dikeluarkan.Ramai yang tidak boleh bekerja. Malah, KWSP menjadi mangsa untuk selamatkan ekonomi rakyat dan Malaysia.

 

Semua orang tahu, simpanan sangat penting ketika anda bersara nanti. Bukan itu saja, simpanan juga penting sebagai back up ketika anda dalam situasi kecemasan. Saya yakin anda sendiri masih berteka teki dengan apa yang bakal terjadi pada masa depan. Bayangkan bila simpanan tidak ada. Sudah tentu sukar untuk anda teruskan hidup. 

 

Sebab #2 Harga barang naik melambung

Saban tahun kita dihidangkan dengan berita harga barang naik mendadak. Selain kurangkan perbelanjaan, anda mesti besarkan pendapatan sedia ada. Sebab memang mustahil untuk anda tidak berbelanja langsung. Dunia hari ini, semua benda kena bayar. Nak masuk tandas kena bayar, nak parking 1 jam pun kena bayar dan macam-macam lagi perbelanjaan yang bakal membebankan kewangan peribadi anda.

 

Kita tengok contoh seperti isu telur. Telur gred C pada 2021 berharga RM9.90 sepapan. Manakala telur gred C pada 2022 meningkat kepada RM12.30 satu papan. Perbezaan sehingga RM2.40. Nampak kecil tapi bagi mereka yang menjadikan telur sebagai keperluan wajib sudah tentu membebankan poket mereka. Sekurangnya, hasil side income boleh bantu top up keperluan kewangan anda.

 

Sebab #3 Mudah langsaikan hutang

Anda hidup dibelenggu hutang?

 

Setiap kali hari gaji atau setiap kali anda kira pendapatan dan tolak semua komitmen anda, nafas jadi sesak dibuatnya. Mana tidak, boleh jadi hanya sedikit baki yang tinggal untuk diri sendiri. Hutang pula mesti mesti dibayar dengan disiplin. Kalau tidak, diri sendiri yang susah nanti.

 

Dengan adanya side income, urusan membayar hutang akan jadi lebih mudah. Bahkan kalau anda nak cepat langsaikan hutang dengan kadar segera, side income adalah shortcut untuk anda. Buatlah perancangan yang rapi supaya anda tidak tersasar dari niat asal kenapa anda mahu buat side income.

 

Sebab #4 Pendapatan ciput

Setakat hari ini (Disember 2022), gaji minimum untuk seorang pekerja adalah sebanyak RM1,500. Kalau duduk di luar bandar pun ada yang merungut gaji tak cukup, apatah lagi yang duduk di tengah bandar. Tidak hairan ramai yang tergolong dalam kalangan miskin bandar ketika ini.

 

Nampak tak betapa pentingnya side income? Sebab keperluan makin mendesak. Bertahan dengan pendapatan sedia ada sangat tidak berbaloi. Bila semua pendapatan anda dihabiskan dengan membayar hutang dan komitmen bulanan, sudah tentu anda tidak dapat menikmati hasil pendapatan anda sendiri. Lebih teruk, tiada langsung simpanan. Jadi, sebab kenapa anda perlu buat side income sudah tentu untuk anda gandakan income untuk melancarkan urusan kehidupan seharian.

 

Sebab #5 Boleh penuhi kemahuan diri

Mungkin anda tiada masalah langsung tentang pendapatan sedia ada. Kalau bergantung dengan satu income pun tidak ada masalah. Tapi anda mesti ada keinginan yang besar untuk capai sesuatu dengan segera.

 

Lebih lagi kita hidup dalam arus media sosial. Terdedah dengan gaya hidup tanpa ada batasan yang boleh diakses hanya dengan hujung jari. Secara tidak langsung saya pasti setiap perbelanjaan anda dipengaruhi oleh apa yang anda lihat di media sosial.

 

Jadi, dengan buat side income sudah tentu mampu memenuhi kemahuan anda. Walaupun kerja yang anda buat hanyalah sampingan dan anda tidak fokus 100%, tidak mustahil pendapatan dari side income lebih besar dari income utama anda.

 

Secara keseluruhannya, side income adalah sangat penting pada masa sekarang. Tidak kira anda bergaji kecil mahupun besar. Bila ada banyak sumber pendapatan, tahap kewangan anda akan semakin baik. Cari dan buatlah side income dengan bijak. Demi kelangsungan hidup. Dan demi masa depan anda. 

 

Bak kata pepatah, “bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian”.

 

Semuanya ada di tangan anda. Jadi, buatlah pertimbangan. Mula intai peluang untuk buat side income. Dapatkan idea buat side income terbaik di Malaysia di sini.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.