5 Cara Selesaikan Hutang PTPTN

hutang orang muda Jul 22, 2025

 

Pada tahun 2020, tunggakan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mencecah RM4.6 bilion kerana 18.1% peminjam langsung tidak membuat bayaran balik pinjaman. Sedangkan tujuan utama PTPTN adalah untuk menampung yuran pengajian dan kos sara hidup di IPT.

 

Sebagai peminjam, hutang PTPTN bukan sesuatu yang boleh diabaikan. Jadilah peminjam yang bertanggungjawab supaya rekod pinjaman anda baik di mata bank. Saya tahu ramai peminjam bertanggungjawab di luar sana, sebab itu anda baca artikel ini untuk tahu 5 cara selesaikan hutang PTPTN. Betul tak?

 

Jadi, macam mana nak mula?

 

Cara #1 Mula menyimpan ketika zaman belajar

Sebenarnya nak bayar hutang PTPTN ini tak perlu tunggu notis dari pihak PTPTN pun. Anda boleh buat persediaan awal dari zaman belajar lagi. Contohnya, anda boleh simpan RM100 sebulan di ASB, Tabung Haji atau tempat pelaburan berisiko rendah yang lain untuk gandakan duit anda. Sekurang-kurangnya selepas anda tamat belajar, anda dah ada simpanan untuk selesaikan hutang PTPTN.

 

Kalau anda tertanya, bagaimana nak simpan RM100 sebulan kalau duit PTPTN pun cukup-cukup untuk bayar komitmen bulanan?
Saya cadangkan anda buat side income untuk kumpul duit selesaikan hutang PTPTN. Dalam artikel sebelum ini, saya ada kongsikan 7 idea side income yang anda boleh lakukan. Boleh baca di sini.

 

Cara #2 Guna Akaun II KWSP

Tahukah anda?

 

Akaun II KWSP juga boleh digunakan untuk bayar hutang PTPTN. Tiada had pengeluaran dan tiada caj pemprosesan. Anda boleh memilih untuk menggunakan Akaun II KWSP milik sendiri (sebagai peminjam PTPTN) atau Akaun II KWSP milik ibu bapa anda untuk membantu menyelesaikan bayaran hutang PTPTN. Proses pengeluaran ini boleh dibuat sama ada secara penuh ataupun sebahagian sahaja bergantung kepada baki hutang PTPTN anda.

 

Cara #3 Penstrukturan Semula Pinjaman

Kalau anda mempunyai sebarang masalah atau kesulitan untuk membuat bayaran berdasarkan Jadual Bayaran Balik yang telah ditetapkan oleh pihak PTPTN, anda boleh memohon penstrukturan semula pinjaman. Melalui cara ini, anda boleh panjangkan tempoh bayaran balik hutang PTPTN sehingga usia 60 tahun. Ansuran minimum yang ditetapkan adalah 5% - 8% daripada jumlah pendapatan kasar bergantung kepada kelayakan anda.

 

Bagi memohon penstrukturan semula pinjaman ini, anda boleh membuat permohonan di aplikasi myPTPTN ataupun pergi ke kaunter PTPTN berdekatan kediaman anda.

 

Cara #4 Manfaatkan diskaun bayaran balik PTPTN

Rugi kalau anda tak ambil tahu info penting ini: PTPTN kerap menawarkan promosi dan diskaun kepada peminjam PTPTN. Oleh itu, anda perlu sentiasa peka dengan hebahan yang dibuat oleh pihak PTPTN melalui e-mail mahupun platform media sosial. Dari masa ke masa, pihak PTPTN ada buat promosi potongan 10% - 20% daripada jumlah baki hutang PTPTN untuk pihak peminjam tertakluk kepada terma dan syarat. Pastinya, insentif ini dapat membantu mengurangkan jumlah pinjaman hutang PTPTN yang perlu anda bayar semula.

 

Cara #5 Dapatkan pengecualian bayaran balik PTPTN

Tahukah anda? Kalau anda berjaya mendapat Kepujian Kelas Pertama untuk Ijazah Sarjana Muda, anda boleh memohon pengecualian bayaran PTPTN. Bahasa mudahnya, PTPTN telah menaja sepenuhnya kos pengajian anda. Oleh itu, kalau anda merancang untuk melanjutkan pelajaran atau sedang menghabiskan pelajaran sekarang, berusahalah untuk tamatkan pengajian dengan Kepujian Kelas Pertama.

 

Kalau anda layak untuk memohon pengecualian ini, berikut merupakan 5 dokumen sokongan yang perlu anda sediakan :

  1. Salinan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang disahkan (Skrol);

  2. Salinan transkrip keputusan peperiksaan yang disahkan;

  3. Salinan Sijil Perakuan Akreditasi daripada MQA yang disahkan (Bagi peminjam IPTS);

  4. Surat pengesahan Kelas Pertama (jika tidak dicatatkan perkataan “Kelas Pertama” pada Ijazah); dan

  5. Surat pengesahan tamat pengajian (jika tidak dicatatkan tarikh tamat pengajian pada ijazah/ transkrip).

 

Untuk maklumat lebih lanjut, anda boleh layari laman sesawang rasmi PTPTN (https://myptptn.ptptn.gov.my). Pastikan anda membuat permohonan 12 bulan selepas tarikh konvokesyen atau anda akan terlepas kelayakan ini.

 

Jika anda lihat realiti hari ini, permintaan dalam dunia pekerjaan memerlukan calon memiliki sekurang-kurangnya Diploma atau Ijazah sebagai syarat minimum kelayakan. Sebab itu, skim pinjaman PTPTN memainkan peranan penting dalam memberi sokongan kewangan kepada mereka yang mahu melanjutkan pelajaran. Melarikan diri dan bersikap lepas tangan dalam menyelesaikan hutang adalah tindakan yang sangat tidak wajar. Jadi diharapkan dari perkongsian kali ini, sedikit sebanyak dapat memberi panduan dan jalan keluar untuk anda selesaikan hutang PTPTN dengan bijak.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.