3 Tips Bijak Bagi Duit Raya

Adat yang baik, tak mudah ditelan zaman. Memberi duit raya merupakan adat yang sangat baik untuk dijadikan contoh dari generasi ke generasi. Selain kita bersilaturrahim, secara tidak langsung orang tua dulu-dulu menerapkan nilai bersedekah kepada kaum kerabat. 

 

Mesti anda sudah membayangkan wajah-wajah yang senyum sampai ke telinga bila anda hulurkan duit raya. Tapi tak syok rasanya bila momen yang paling ditunggu-tunggu ini menjadi momen yang membuatkan anda "miskin" untuk meneruskan hidup pada bulan tersebut. 

 

Sebaiknya sebelum anda beri duit raya, aplikasikan terlebih dahulu tip bijak menguruskan duit yang akan saya kongsikan pada kali ini.


kira dan tetapkan bajet sebelum beri duit raya

sumber : freepik

Tip #1 Tetapkan berapa bajet anda?

Awal-awal kena tetapkan berapa jumlah duit yang anda selesa untuk keluarkan?

 

Nilai yang anda tetapkan mesti bergantung pada kemampuan. Ini peraturan yang paling asas dalam menguruskan duit dengan bijak. Ikut kemampuan masing-masing. Bukan terikut dengan bajet orang lain. Ini tidak, orang bagi RM10 seorang, anda pun nak bagi RM10. Sedangkan anda hanya mampu RM2 seorang. Tolong jangan buat macam itu! 

 

Contoh : RM600 bajet duit raya pada tahun ini.

 

Daripada RM600, anda mesti tahu berapa banyak duit raya yang anda nak bagi. Misalnya RM100 untuk mak ayah. RM20 untuk adik beradik, RM10 untuk anak saudara, RM5 untuk ahli keluarga terdekat dan RM2 untuk anak-anak jiran tetangga. Kalau kurang daripada jumlah itu pun tiada masalah. Yang penting berbalik pada peraturan pertama kita tadi iaitu bajet mesti ikut kemampuan anda.


Tukar duit baru sebelum hari raya

Tip #2 Tukar duit baru awal-awal

Lepas dah bajet berapa yang nak dikeluarkan, jangan lupa tukar duit kepada duit baru awal-awal. Kalau guna duit sedia ada kat tangan mungkin ada yang terkelepet, terkoyak dan macam-macam lagi. Kalau boleh, jangan buat last minute sebab kebiasaan seminggu sebelum raya bank kehabisan duit baru. 

 

Memberi duit baharu ibarat anda menyampaikan dua kegembiraan kepada orang yang menerima duit raya. Satu, gembira dapat duit raya. Dua, gembira dapat duit baru. 

 

Bukankah menggembirakan orang juga suatu pahala?

 

Sumber: sayangwang

Tip #3 Masukkan duit dalam sampul mengikut kategori

Sejak dulu lagi saya amalkan tip ini. Caranya mudah saja, anda perlu sediakan beberapa sampul yang pelbagai warna atau corak untuk membezakan jumlah duit raya bagi setiap sampul tersebut.

 

Contohnya sampul warna oren untuk RM20, sampul merah untuk RM10, sampul hijau untuk RM5 dan sampul biru untuk RM1. 

 

Cara begini lebih praktikal supaya anda tidak terkial-kial semasa bagi duit raya. Jadi isu terlebih bagi duit raya tidak mudah berlaku kerana anda tahu jumlah yang ada dalam setiap sampul. Maka anda akan lebih mudah mengawal bajet duit raya yang telah anda tetapkan sejak awal lagi.

 

Kesimpulannya, hari raya yang akan tiba pastinya membawa kemanisan yang berbeza setiap tahun. Dulu kita gembira menerima duit raya, kini kita gembira memberi duit raya pada orang tersayang.

 

Berapa nilai yang anda mampu beri itu tidak penting kerana memberi duit raya bukan bertujuan untuk berlumba-lumba. Jangan pula gembira dalam sedih sebab teringatkan duit belanja yang tidak cukup akhir bulan nanti. Memberi atau bersedekah bukan perbuatan yang menyusahkan. Oleh itu, memberilah dengan hati yang ikhlas sesuai dengan kemampuan anda.

 

Jadi apa tunggu lagi?

 

Kalau anda dapat sesuatu dari perkongsian ini, apa kata anda terus aplikasikan semua tips untuk bagi duit raya kepada keluarga dan kenalan rapat anda. Buat awal tak kalut, lambat tak kelam kabut. Semoga tip yang diberikan bermanfaat dalam menghebatkan lagi pengurusan duit anda

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.