5 Gaya Hidup Yang Orang Muda Kena Ada

orang muda Sep 15, 2023

Setiap orang dibesarkan dengan gaya hidup yang berbeza. Ada yang sederhana dan ada yang mewah. Kalau anda perasan, sejak wujudnya kecanggihan internet, gaya hidup orang muda tidak hanya dipengaruhi oleh keluarga semata. Hakikatnya, orang muda pada masa sekarang dibesarkan dan dipengaruhi oleh gaya hidup warganet yang ada di seluruh dunia.

 

Jadi, disebabkan dunia tiada sempadan ini, sangatlah penting untuk anda mempersiapkan diri dengan gaya hidup yang betul. Dalam artikel kali ini, saya akan berkongsi lebih lanjut tentang 5 gaya hidup yang orang muda kena ada. Supaya gaya hidup yang anda amalkan tidak mendatangkan masalah terhadap kewangan anda kelak.

 

Gaya hidup #1 Makan makanan sihat dan seimbang

Makanan adalah penyumbang utama kepada sesuatu penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, sakit jantung, strok dan banyak lagi. Jadi, sebagai orang muda anda mesti pandai jaga pemakanan dengan mengambil makanan sihat dan seimbang. Kalau anda tidak menitikberatkan makanan yang masuk ke dalam badan anda, anda berpotensi terkena penyakit. Saya yakin, anda mesti tahu kos perubatan semakin tinggi saban tahun. Jadi, selamatkan gaya hidup anda sebelum terlambat.

 

Gaya hidup #2 Pupuk mindset suka belajar

Belajar yang dimaksudkan bukan sekadar pembelajaran formal sampai ke peringkat Phd. Tapi termasuk juga belajar kemahiran baru yang boleh beri nilai tambah ke dalam kerjaya dan hidup anda. Kemahiran bila diasah sejak muda boleh menjadi “tajam” dan membuahkan pendapatan sampingan untuk masa depan anda. Selain itu, anda juga boleh pupuk mindset suka belajar bermula dengan membaca buku. Kalau jarang membaca, bina tabiat membaca walau hanya mampu baca satu muka surat sehari. Percayalah orang yang selalu menambah ilmu, ilmu akan mengawal setiap tindakan terutama dalam setiap keputusan kewangan.

 

Gaya hidup #3 Buat extra income

Bergantung kepada satu sumber pendapatan sangat merungsingkan. Sepatutnya orang muda kena gunakan masa dan tenaga yang ada untuk pelbagaikan sumber pendapatan. Tak ada idea nak buat extra income? Baca 7 side income terbaik di Malaysia di sini. Kalau anda lihat, orang muda zaman sekarang suka mengikut trend semasa dan habiskan pendapatan mereka dengan gaya hidup yang menjejaskan kewangan. Contohnya penggunaan kad kredit. Dalam analisis yang dilaporkan media, orang muda yang berumur 22-28 tahun adalah mereka yang berdepan kesukaran membayar semula hutang kad kredit. Selain itu, orang muda juga cenderung membeli kereta yang melebihi kemampuan mereka. Inilah antara contoh gaya hidup yang merosakkan aliran kewangan anda. Daripada buat “dosa kewangan”, lebih baik gaya hidup yang anda pilih boleh meningkatkan tahap kewangan. Supaya anda miliki kewangan yang sihat dan stabil menjelang hari persaraan.

 

Gaya hidup #4 Buat networking

Melibatkan diri dengan masyarakat akan membuka peluang besar untuk perjalanan kerjaya anda. Ambil bahagian dalam aktiviti sukarelawan dan libatkan diri dalam program sosial. Jangan hanya “duduk di bawah tempurung” sebab ia sangat merugikan. Mana tahu dengan networking yang anda buat, anda akan diajak untuk kolaborasi perniagaan dan sebagainya. Tapi, anda kena bijak pilih circle. Carilah mereka yang suka bercakap tentang mindset, growth and success. Secara tidak langsung ia akan membentuk keperibadian anda sebagai orang muda yang mahu berjaya dalam hidup dan kewangan.

 

Gaya hidup #5 Cipta kehidupan yang seimbang

Sebagai orang muda, kadang anda terlalu obses dengan kerja dan duit. Dari pagi sampai ke malam, asyik fikir tentang kerja sampai langsung tak ada keseimbangan antara kerja, masa untuk diri sendiri dan aktiviti sosial. Elakkan ada gaya hidup seperti ini sebab anda telah membebankan diri sehingga boleh menjejaskan kesihatan fizikal dan mental. Mungkin pekerjaan anda mendatangkan gaji yang tinggi. Tapi bayangkan masa depan anda dengan kesihatan mental yang terjejas. Ketika itu, duit bukan lagi motivasi untuk bekerja. Jadi, seimbangkan hidup dan letakkan sempadan antara kerja dan masa peribadi.

 

Secara kesimpulannya, gaya hidup adalah satu pilihan. Pilihan yang dibuat oleh orang muda terhadap gaya hidup akan beri kesan ketara dalam kewangan. Sama ada baik atau buruk.

 

Memang anda boleh memilih sesuka hati perihal gaya hidup. Setengah orang, ada yang berpegang pada prinsip “You only live once” . #YOLO katanya. Tapi kena sentiasa ingat, gaya hidup yang melampau akan memudaratkan hidup. Kalau anda aplikasikan 5 gaya hidup yang orang muda kena ada seperti apa yang saya kongsikan di atas, saya yakin anda akan terselamat dari sebarang masalah kewangan.

 

Moga bermanfaat.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.