Apa Itu Money Block

kewangan Aug 01, 2023

Anda pernah dengar istilah “Money Block”?

 

Mungkin ya, mungkin tidak. Sebenarnya memang jarang orang bercakap tentang money block. Kalau bab duit, orang lebih tertarik untuk tahu mengurus dan menambah kekayaan. Tapi bab mindset, boleh kata sedikit yang nak ambil tahu.

 

Ya, money block ada kaitannya dengan mindset a.k.a cara anda berfikir tentang duit. Secara ringkasnya, money block bermaksud halangan psikologi yang menghalang seseorang individu untuk mengurus dan mengumpulkan kekayaan dengan berkesan. Ia berakar disebabkan kepercayaan, sikap atau emosi anda terhadap duit. Yang beri kesan negatif kepada keadaan kewangan anda.

 

Kalau baca definisi mungkin agak sukar untuk anda fahami. Jadi, dalam artikel kali ini saya akan kongsikan lebih lanjut tentang apa itu money block beserta contohnya. Supaya kalau anda perasan ada money block sepanjang anda berurusan dengan duit, anda cepat-cepat atasinya!

 

Money block boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan situasi, antaranya:

 

#1 Fikir nak cari duit ni susah

Cuba reflect diri anda, ada tak pada satu masa tertentu anda cakap yang nak cari duit ni susah? Contoh macam:

 

“Kena pandai jimat duit. Ingat senang ke nak cari duit?”

 

Bila nak belanja guna duit, anda jadi turn off. Terus tak jadi berbelanja. Anda lebih suka simpan duit sebab takut duit anda habis. Inilah salah satu money block. Anda percaya yang nak cari duit ni susah. Rasa tak boleh capai kekayaan yang luar biasa sebab kemampuan anda terhad. Dan susah nak pastikan kekayaan kekal berpanjangan.

 

#2 Takut dengan kejayaan

Mesti anda tertanya, ada ke orang yang takut nak berjaya dalam dunia ni?

 

Jawapannya ada! Ketakutan untuk berjaya ini wujud tanpa anda sedar yang boleh mensabotaj diri sendiri untuk capai potensi sebenar dalam kewangan. Sebagai contoh:

  1. Bertangguh untuk perbaiki kewangan: suka belanja berlebihan dan tak mahu ambil risiko dalam pelaburan.
  2. Meremehkan pencapaian: rasa setiap pencapaian kecil sesuatu yang biasa dan tak ada apa yang perlu dibanggakan. Selalu menganggap hasil kejayaan adalah ketentuan takdir atau hasil sumbangan keluarga. Anda tak rasa ia adalah kebolehan dan kerja keras diri sendiri.
  3. Takut kena judge: tak mahu terlalu berjaya sebab takut orang menilai dan mengkritik atas pencapaian yang dimiliki.
  4. Selalu rasa tidak layak: bergelut dengan rasa tidak layak untuk kaya dan tidak mampu untuk menguruskan kewangan.
  5. Risau dengan perubahan: kejayaan dalam kewangan selalunya datang dengan perubahan lifestyle, tanggungjawab dan kelas sosial. Wujud perasaan risau bila dah berjaya, akan mudah lupa diri.

 

Fuh, banyak kan contoh yang saya bagi? Ada yang terkena batang hidung sendiri tak?

 

#3 Takut dengan kegagalan

Saya percaya, hampir semua orang ada perasaan takut untuk gagal. Sebab itu apa saja perasaan takut, anda kena bijak mengawal diri. Kalau tidak, perasaan itu akan memakan diri anda.

 

Perasaan takut gagal ini wujud mungkin disebabkan diri anda pernah merasai pengalaman atau mendengar pengalaman orang lain. Tanpa disedari tertanam dalam diri anda takut untuk berdepan dengan kegagalan.

 

Contohnya, anda skeptik dengan peluang untuk tambah pendapatan. Khususnya bab pelaburan. Sebab anda mungkin takut kena tipu atau akan mengalami kerugian. Sikap ini tidak terjadi secara semulajadi. Biasanya ia dipengaruhi oleh apa yang berlaku di sekeliling anda. Seperti, ahli keluarga kena scam dalam pelaburan.

 

#4 Rasa bersalah atau malu bila berkait dengan duit

Ini satu lagi money block yang bagi kesan besar dalam setiap keputusan dan tingkah laku seseorang. Contohnya:

  1. Bersalah bila tak berbelanja mewah. Sebab anda fikir, dah bekerja keras dan buat sehabis baik untuk sampai ke tahap anda sekarang. Jadi anda cenderung untuk berbelanja sebab rasa bersalah duit anda tak digunakan. Kesannya, menjadikan kewangan anda tidak stabil dan tidak selamat.
  2. Malu apabila orang sekeliling bercakap tentang simpanan dan pelaburan. Malu dengan keadaan kewangan peribadi sehingga menyebabkan anda tiada langsung komunikasi dan komuniti yang bercakap tentang duit. Anda semakin jauh daripada nasihat dan sokongan orang sekeliling tentang duit.
  3. Malu dan bersalah untuk meletak nilai pada kerja dan perkhidmatan. Money block kelihatan lebih ketara apabila anda malu untuk mengenakan harga yang tinggi walaupun hasil kerja yang bagus dan berkualiti. Inilah salah satu punca yang mengehadkan potensi sebenar untuk dapatkan pendapatan tinggi.

 

#5 Tanggapan buruk tentang duit

Apa saja tentang duit, adalah benda yang negatif. Anda selalu mengaitkan duit sebagai punca seseorang menjadi tamak, terlibat dengan rasuah dan macam-macam lagi.

 

Bak kata satu quote, “money is the root of evil”. Padahal pada hakikatnya, ada saja orang dekat luar sana yang kaya tapi selalu bersedekah dan memberi bantuan. Ianya bermula dari apa yang anda fikirkan tentang duit. Kalau buruk yang anda fikirkan, anda akan nampak semua yang negatif dan tidak baik.

 

#6 Kurang pendedahan ilmu literasi kewangan

Macam saya katakan dekat atas, money block punca anda tidak berupaya mengumpul dan mengurus kekayaan dengan efektif. Sebab apa? Sebab anda kurang pendedahan dalam ilmu literasi kewangan yang mempengaruhi keputusan anda terhadap situasi kewangan.

 

Tanpa ilmu literasi kewangan, anda tersekat dengan money block seperti:

  1. Apa salahnya nak berhutang? Selalu fikir berhutang satu jalan keluar untuk dapatkan sesuatu tanpa memahami sepenuhnya kadar faedah, tempoh pinjaman serta caj terlibat sehingga menyebabkan anda terbeban dengan hutang yang tinggi.
  2. Buat apa simpan kalau boleh belanjakan? Anda rasa simpanan kecemasan bukan suatu benda yang perlu diutamakan. Bagi anda, menikmati duit dengan berbelanja lebih menyeronokkan daripada menyimpan duit.
  3. Kenapa nak melabur, buang duit saja. Anda fikir orang yang melabur tak sayang duit. Dedahkan duit kepada risiko. Lebih baik simpan dalam bank. Sedangkan, orang yang celik kewangan melabur untuk elakkan duit terdedah dengan inflasi.

 

Secara kesimpulannya, money block bukanlah satu perkara yang anda boleh ambil remeh. Ia berkait dengan bagaimana anda berfikir dan melihat sesuatu. Anda pula akan terjemahkan apa yang anda fikir dan rasai kepada generasi anda. Saya yakin, anda mesti tak mahu generasi yang anda lahirkan terperangkap dengan money block yang boleh menghalang kejayaan dalam kewangan.

 

Sebab itu saya kongsikan situasi dan contoh secara lebih spesifik dalam perkongsian pada kali ini supaya anda dapat kenalpasti dan keluar dari money block yang sudah sebati dalam diri tanpa anda sedar.

 

Satu perkara yang anda pegang, menghapuskan money block adalah perjalanan yang memerlukan kesabaran dan kesungguhan. Ambil langkah proaktif dengan mencari mentor dan komuniti yang membawa anda ke sebuah kehidupan kewangan yang lebih sihat dan berlimpah dengan manfaat.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.