Beza ASB dan Unit Trust

orang muda pelaburan Jan 16, 2026

ASB dan unit trust merupakan antara instrumen pelaburan yang popular di Malaysia kerana kedua-duanya memberi peluang untuk mengembangkan duit simpanan tanpa perlu bekerja lebih masa. Orang yang bijak membiarkan duit bekerja untuknya, bukan sebaliknya dan pelaburan seperti ASB serta unit trust membolehkan anda melabur tanpa perlu sentiasa memantau pergerakan pasaran setiap hari. Dengan cara ini, anda boleh fokus membina kehidupan dan mencapai matlamat kewangan yang diimpikan.

 

Jadi, artikel kali ini akan menerangkan perbezaan antara ASB dan unit trust secara ringkas supaya anda boleh membuat keputusan pelaburan yang lebih tepat serta selari dengan matlamat kewangan dan gaya hidup anda.

 

Beza ASB dan Unit Trust

 

Apa itu ASB?

Amanah saham bumiputera (ASB) adalah dana amanah atau unit trust dengan kadar harga tetap dan tidak berubah. Pelaburan ini sering menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang ingin menyimpan dan melaburkan duit dalam keadaan selamat.

 

Apa itu Unit Trust?

Unit trust adalah sejenis pelaburan yang mengumpulkan duit daripada ramai pelabur untuk dilaburkan dalam pelbagai aset seperti saham, bon atau pasaran wang. Dana ini diuruskan oleh pengurus dana profesional yang mempunyai kepakaran dalam memilih dan menguruskan pelaburan untuk mencapai objektif dana tersebut.

 

Apabila anda melabur dalam unit trust, ia juga bermakna anda membeli "unit" dalam dana tersebut. Harga unit ini boleh berubah setiap hari dan ia juga dikenali sebagai Net Asset Value (NAV). Antara kelebihan unit trust yang diminati pelabur adalah:

 

  • Diversiti Portfolio: Unit trust dilaburkan dalam pelbagai jenis aset bagi mengurangkan risiko pelaburan

  • Pengurusan Profesional: Dana diuruskan oleh pakar yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman

  • Akses kepada Pasaran: Memudahkan pelabur untuk melabur dalam pasaran yang mungkin sukar diakses secara individu

  • Tahap Kecairan: Unit boleh dijual pada bila-bila masa (tertakluk kepada terma dan syarat)

 

 

Perbezaan ASB dan Unit Trust

Kedua-duanya kelihatan hampir sama tetapi terdapat perbezaan ketara iaitu:

 

1. Harga Unit

ASB: Harga unit ASB ditetapkan pada RM1.00 seunit. Ini bermakna setiap unit yang anda beli sentiasa bernilai RM1.00 dan tidak berubah.

 

Unit Trust: Harga unit berubah setiap hari berdasarkan prestasi aset yang dilaburkan oleh dana tersebut. Harga unit boleh naik atau turun bergantung kepada keadaan pasaran.

 

2. Risiko

ASB: Dianggap sebagai pelaburan yang berisiko rendah kerana dijamin oleh pihak kerajaan dan memberikan pulangan yang stabil. Walau bagaimanapun, pulangan ASB mungkin lebih rendah berbanding dengan unit trust yang berisiko tinggi.

 

Unit Trust: Risikonya bergantung kepada jenis dana dan aset yang dilaburkan. Dana yang dilaburkan dalam saham mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding dengan dana yang melabur dalam bon. Secara keseluruhannya, unit trust mempunyai risiko pelaburan rendah, sederhana dan juga tinggi.

 

3. Kekerapan Dividen

ASB: Dividen ASB biasanya diumumkan sekali setahun. Kadar dividen bergantung kepada prestasi ASB pada tahun tersebut.

 

Unit Trust: Kekerapan dividen unit trust berbeza-beza bergantung kepada jenis dana. Sesetengah dana mungkin membayar dividen setiap suku tahun, setiap setengah tahun atau sekali setahun. Ada juga dana yang tidak membayar dividen tetapi memberikan pulangan melalui peningkatan harga unit.

 

4. Caj Pengurusan

ASB: ASB mempunyai caj pengurusan yang sangat rendah. Ini menjadikan ASB sebagai pilihan yang menarik bagi pelabur yang ingin meminimumkan kos dan selera risiko yang rendah.

 

Unit Trust: Unit trust mengenakan caj pengurusan yang dikenali sebagai nisbah perbelanjaan (Expense Ratio). Caj ini meliputi kos pengurusan dana, pentadbiran dan pemasaran. Nisbah perbelanjaan biasanya dinyatakan sebagai peratusan daripada nilai aset bersih dana.

 ASB dan Unit Trust

 

ASB VS Unit Trust: Mana Lebih Untung?

Sudah jadi lumrah orang melabur, mesti anda nak tahu mana yang lagi untung. Saya faham sebab ia melibatkan duit. Mestilah anda mahu pulangan, bukan kerugian. Tapi jawapan sebenarnya ia bergantung kepada ‘selera’ pelaburan anda.

 

ASB sesuai untuk pelabur yang mencari pelaburan yang selamat dan stabil dengan pulangan yang konsisten. Walaupun pulangan ASB mungkin tidak setinggi unit trust yang berisiko tinggi, ia memberikan ketenangan kepada pelabur yang ingin fokus simpan duit dalam jangka masa panjang dan selamat sambil menikmati pulangan dividen setiap tahun.

 

Manakala unit trust pula sesuai untuk pelabur yang bersedia mengambil risiko yang lebih tinggi untuk potensi pulangan yang lebih tinggi. Kalau anda mempunyai tempoh pelaburan yang panjang, anda mungkin boleh bertahan dengan turun naik pasaran dan mendapat manfaat daripada pertumbuhan jangka panjang.

 

Anda juga boleh sahaja untuk mempunyai simpanan di akaun ASB dan juga mempunyai pelaburan dalam unit trust lain kerana ASB lebih bersifat risiko rendah manakala unit trust pula ada yang berisiko rendah, sederhana dan tinggi. Hal ini sangat berkait rapat dengan strategi pelaburan yang anda mahukan.

 

Kalau anda teringin nak tahu lebih lanjut tentang pelaburan unit trust, boleh klik di sini.

 

Kesimpulannya, ASB dan unit trust masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan tidak boleh dinilai secara “mana lebih untung” semata-mata, tetapi perlu dilihat dari sudut kesesuaian dengan objektif, toleransi risiko dan tempoh pelaburan anda.

 

Bagi anda yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk memantau pergerakan pasaran setiap hari, kedua-dua instrumen ini menawarkan penyelesaian yang praktikal kerana diuruskan oleh pengurus dana profesional yang berpengalaman. Anda boleh melabur tanpa perlu mendalami analisis teknikal atau fundamental yang kompleks.

 

Dalam dunia kewangan hari ini, peluang untuk melabur terbuka luas dengan pelbagai pilihan dan tahap risiko. Sama ada anda memilih ASB, unit trust atau gabungan kedua-duanya, yang paling penting adalah mula belajar melabur dan praktikkan ilmu dan kemahiran. Kerana hakikatnya, pelaburan bukan tentang siapa yang paling besar modalnya, tetapi siapa yang bersabar mengambil jalan panjang untuk belajar dan buat tindakan untuk hasil yang lebih baik.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.