Beza Kerja Makan Gaji dan Kerja Sendiri

income kewangan orang muda Sep 29, 2023

 

Setiap graduan yang tamat belajar, pasti akan terfikir soalan yang sama.

 

"Kerja makan gaji atau kerja sendiri?”

“Kerja dengan bos atau kerja jadi bos?"

 

Persoalan ini mendorong seseorang untuk memenuhi peluang pekerjaan yang sedia ada. Tapi masalahnya, isu pengangguran dalam kalangan graduan Universiti masih tidak berpenghujung. Kalau anda nak tahu, menurut laporan satu kajian, antara faktor yang menyebabkan graduan gagal memiliki pekerjaan selepas tamat belajar adalah disebabkan terlalu memilih kerja.

 

Jadi, artikel kali ini istimewa untuk para graduan di luar sana. Saya akan kongsikan lebih lanjut beza kerja makan gaji dan kerja sendiri supaya anda sebagai graduan boleh memenuhi pasaran kerja yang sesuai dengan kehendak anda.

 

Beza #1 Masa bekerja

 

Kerja makan gaji terikat dengan masa yang ditetapkan oleh majikan. Biasanya antara jam 8 pagi hingga 5 petang, atau 9 pagi hingga 6 petang. Ada juga pekerjaan yang melibatkan penggiliran siang dan malam. Ia berbeza mengikut profesion dan industri yang anda ceburi. Anda juga tidak boleh bercuti sesuka hati. Semuanya wajib dipatuhi dari sudut jumlah cuti tahunan, cuti kecemasan dan lain-lain lagi.

 

Kerja sendiri pula sinonim dengan bidang perniagaan atau keusahawanan. Sama ada perniagaan keluarga atau anda sendiri, bekerja sendiri memberi kelebihan dari sudut masa yang lebih fleksibel. Senang kata, anda tidak terikat dengan majikan, sebab andalah majikan. Anda bebas untuk tentukan bila masa untuk bekerja, berehat dan bercuti. Nampak macam menyeronokkan, tapi jangan ambil mudah. Sebab masa yang dilaburkan akan beri kesan kepada pendapatan anda. Kalau asyik bercuti, mana nak datang pendapatan, kan?

 

Beza #2 Gaji atau pendapatan

 

Kerja makan gaji memperoleh pendapatan yang tetap setiap bulan. Anda tak perlu risau tentang duit sebab jumlah yang anda dapat adalah sama setiap bulan. Kalau bekerja di syarikat yang bagus, anda berpotensi untuk naik gaji, dapat bonus dan komisen dari majikan. Kerja makan gaji juga dikatakan profesion yang ada kelebihan untuk mencorak kewangan yang efektif. Anda boleh rancang simpanan dan pelaburan yang konsisten sebab pendapatan anda adalah sama setiap bulan.

 

Berbeza dengan orang yang kerja sendiri. Pendapatan yang bakal anda peroleh adalah tidak menentu. Anda boleh dapatkan pendapatan yang melimpah-ruah sebab kelebihan orang yang bekerja sendiri adalah pendapatan yang tiada siling. Anda boleh corakkan berapa pendapatan yang anda mahukan. Tapi, lumrah sebagai orang yang berniaga, pendapatan pasti ada naik dan turunnya. Jadi, perasaan takut dan risau tentang pendapatan tentu ada.

 

Beza #3 Tempat kerja

 

Kerja makan gaji bergantung kepada majikan atau syarikat. Anda sebagai pekerja tidak boleh memilih sekiranya ditugaskan untuk berkhidmat di sebuah kawasan yang mungkin anda sendiri kurang menyukainya. Contohnya guru. Jika anda mendapat tawaran sebagai guru di kawasan pendalaman, anda terpaksa akur dengan tawaran tersebut. Kalau anda tolak, mungkin akan menjejaskan permohonan anda akan datang.

 

Kerja sendiri pula bergantung kepada anda. Anda boleh pilih kawasan yang anda suka untuk dijadikan tempat kerja. Ada peniaga kecil-kecilan hanya memilih rumah sebagai tempat kerja. Kalau anda nak buka perniagaan di sebuah kawasan yang jauh dari tempat tinggal pun tak ada masalah. Ada boleh hantar pekerja anda untuk menyelia atau mengurus bagi pihak anda. Bagi orang yang bekerja sendiri, anda ada kuasa untuk tentukan semuanya termasuk tempat kerja.

 

Secara keseluruhannya, kerja makan gaji dan kerja sendiri ada kelebihan dan kekurangan tersendiri. Tak salah jika anda nak memilih kerja. Cuma mungkin anda keliru dengan cabaran dan kelebihan yang bakal anda peroleh dari satu bidang yang bakal anda ceburi. Secara jelasnya, kerja makan gaji dan kerja sendiri mampu membentuk kemahiran yang memberi nilai tambah kepada kehidupan anda. Dunia pekerjaan bukan tentang mencari duit semata, tapi tentang bagaimana anda kumpul pengalaman dan asah kemahiran untuk capai matlamat yang anda impikan dalam hidup. Moga bermanfaat.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.