Cara Beli Saham di Bursa Malaysia

pelaburan saham Feb 13, 2026

Susah ke nak beli saham di Bursa Malaysia?

 

Hakikatnya, tidaklah serumit yang anda sangka. Prosesnya mudah dan boleh dibuat oleh sesiapa sahaja. Cuma, cabaran sebenar dalam pelaburan saham bukan pada proses membeli saham, tapi pada pemilihan saham yang berpotensi untung dan penentuan masa yang sesuai untuk beli saham.

 

Kalau anda masih baru dan ingin mula melabur dalam saham, saya akan kongsikan tentang cara beli saham di Bursa Malaysia yang boleh anda praktikkan dengan mudah.

 

Sebelum beli saham, anda perlu buka akaun CDS terlebih dahulu

 

Cara #1 Buka akaun CDS dan Akaun Dagangan

Langkah pertama untuk beli saham ialah membuka akaun CDS dan akaun dagangan. Akaun CDS berfungsi sebagai tempat simpanan saham, manakala akaun dagangan digunakan untuk membuat urus niaga jual dan beli saham di Bursa Malaysia. Tanpa dua akaun ini, sebarang transaksi saham tidak boleh dilakukan.

 

Untuk membuka kedua-dua akaun ini, anda memerlukan bantuan broker saham, iaitu orang tengah antara pelabur dan Bursa Malaysia. Kini, kebanyakan broker membenarkan pembukaan akaun secara atas talian hanya menggunakan kad pengenalan dan maklumat perbankan. Proses kelulusan biasanya mengambil masa beberapa hari bekerja sebelum akaun diaktifkan dan sedia digunakan.

 

Berikut merupakan beberapa broker yang diiktiraf oleh Bursa Malaysia:

  1. Malacca Securities Sdn Bhd
  2. Maybank Investment Bank Berhad
  3. Kenanga Investment Bank Berhad
  4. Moomoo Securities Malaysia Sdn
  5. Webull Financial LLC

 

Deposit modal awal ke dalam akan CDS sebelum anda membeli saham.

 

Cara # 2 Deposit Modal Awal

Selepas akaun diaktifkan, langkah seterusnya ialah memasukkan modal ke dalam akaun dagangan. Untuk permulaan, tak perlu terus sasar modal yang besar. Sebenarnya dengan modal serendah RM100, anda boleh mula beli saham bergantung kepada harga saham yang dipilih.

 

Tapi kalau anda mahukan pulangan pelaburan yang berbaloi setelah mempertimbangkan kos urusniaga saham, modal sekitar RM1,000 hingga RM3,000 adalah lebih praktikal. Saya juga sangat sarankan modal awal anda untuk beli saham ni mestilah menggunakan duit lebihan dan bukannya duit simpanan kecemasan sebab dalam pelaburan, rugi itu pasti dan untung itu rezeki. Jadi kalau ia rugi, bukan simpanan anda yang rugi.

 

Pilih dan beli saham yang berpotensi untung

 

Cara #3 Pilih Saham

Sebelum anda tekan butang beli saham, anda perlulah membuat analisis teknikal dan fundamental terlebih dahulu untuk pilih jenis saham yang sesuai untuk anda beli. Sehingga tahun 2025, hampir 1000 jenis saham telah disenaraikan di Bursa Malaysia.

 

Antara sektor saham yang terdapat di Bursa Malaysia ialah:

  1. Barangan industri dan perkhidmatan
  2. Barangan pengguna dan perkhidmatan
  3. Teknologi
  4. Hartanah
  5. Pembinaan
  6. Tenaga
  7. Perladangan
  8. Pengangkutan dan logistik
  9. Penjagaan kesihatan
  10. Utiliti
  11. Telekomunikasi dan media
  12. Perkhidmatan kewangan

 

Kalau anda beragama Islam, ini adalah berita baik. 80% saham di Bursa Malaysia merupakan saham patuh syariah. Oleh itu, peluang untuk melabur saham dan pemilihan saham tidaklah begitu terhad dan anda mempunyai banyak pilihan sebenarnya.

 

Persoalan yang lebih penting, bagaimana anda nak tapis dan pilih saham berpotensi untung? Boleh klik dan belajar di sini sekarang!

 

Beli dan jual saham mengikut trading plan

 

Cara #4 Beli Saham

Bagi proses pembelian saham, anda boleh lakukan melalui platform dagangan yang disediakan oleh broker. Anda hanya perlu mencari kod saham, lalu menetapkan harga yang sanggup dibeli dan jumlah saham yang ingin dibeli, kemudian mengesahkan pesanan.

 

Kalau ada pelabur saham lain yang ingin jual saham pada harga yang anda ingin beli, transaksi akan berlaku serta-merta dan pegangan saham anda akan direkodkan dalam akaun CDS anda.

 

Kalau tidak, pesanan anda akan kekal dalam sistem sehingga harga tersebut dipenuhi atau dibatalkan.

 

Di sini saya nak ingatkan, pada peringkat awal melabur, fokus utama anda seharusnya untuk memahami proses jual beli, caj transaksi dan pergerakan harga saham dalam pasaran sebenar, bukan untuk mengejar keuntungan besar dalam masa singkat. Ambil masa beberapa kali jual beli saham sampai anda mahir melabur, suatu masa anda akan dapat momentumnya!

 

Beli dan pantau prestasi saham secara berkala

 

Cara #5 Pantau saham

Selepas membeli saham, tugas seterusnya ialah memantau prestasi saham secara berkala. Pemantauan ini bukan sekadar melihat harga naik atau turun, tetapi memastikan pergerakan saham masih selari dengan trading plan yang telah ditetapkan.

 

Trading plan ialah pelan ringkas yang menjawab tiga soalan utama:

  1. Bila nak beli
  2. Bila nak jual
  3. Berapa kerugian maksimum yang sanggup diterima

 

Dalam erti kata lain, trading plan membantu anda membuat keputusan berdasarkan perancangan. Ini sangat penting supaya anda dapat membuat tindakan yang rasional semasa urusan jual beli saham dan tidak membuat keputusan mengikut emosi semata.

 

Kesimpulannya, melabur saham bukan sekadar urusan teknikal menekan butang beli dan jual, tetapi satu proses membuat keputusan yang menuntut disiplin dan pengurusan risiko. Pelabur yang bertahan lama bukan kerana mereka sentiasa betul dalam setiap keputusan, tetapi kerana mereka tahu apa yang perlu dibuat apabila pasaran tidak memihak kepada mereka.

 

Dalam dunia saham, kelebihan sebenar bukan pada siapa paling cepat mencatat keuntungan, tapi pada siapa yang paling konsisten mematuhi perancangan sendiri kerana di situlah nilai sebenar dalam pelaburan saham dibina.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.