Cara Simpan Duit Paling Berkesan

simpanan Nov 24, 2022

Simpanan adalah satu elemen penting untuk anda capai kejayaan dalam kewangan. Setiap daripada anda harus tahu cara simpan duit paling berkesan. Sebab tanpa simpanan, impian yang anda impikan mustahil untuk dicapai dengan mudah.

 

Mesti anda pernah dengar, sesetengah orang berfikiran kalau nak buat simpanan, terpaksa potong perbelanjaan setiap bulan. Apatah lagi yang bergaji rendah. Kata mereka, mana cukup duit gaji untuk belanja pergi joli. Semua habis untuk bayar komitmen bulanan sahaja. Sampaikan nak enjoy gaji sendiri pun tak boleh. Tak syoklah macam tu..

 

Sebab itulah artikel kali ini saya akan kongsikan cara simpan duit paling berkesan supaya anda tidak perlu nak mengikat perut atau mengehadkan perbelanjaan semata-mata untuk merealisasikan simpanan. Hanya perlu amalkan 5 cara yang paling berkesan ini.

Cara simpan duit paling berkesan adalah dengan disiplin meletakkan duit ke dalam tabung khas

 

Cara #1 Asingkan gaji

Nak simpan duit, anda tak perlu ada kemahiran matematik yang tinggi pun. Hanya mula dengan mengasingkan duit anda setiap kali hari gaji. Lagi bagus kalau anda buat auto deduction ke tabung simpanan khas. Seperti contoh features yang ada dalam Mae Apps. Setiap tabung ada target tersendiri. Anda boleh setkan supaya duit gaji anda masuk ke dalam tabung yang anda wujudkan.

 

Bagi saya sendiri, saya lebih gemar gunakan teknik 3 bank. Saya pernah kongsikan tentang cara simpan duit yang efisien menggunakan teknik 3 bank, boleh tekan di sini untuk bacaan lanjut.

 

Kepentingan bila anda asingkan gaji adalah supaya anda tidak mudah terusik duit gaji anda dengan berbelanja sesuka hati. Asingkan duit supaya anda ada:

 

  • Duit belanja
  • Duit untuk bayar komitmen bulanan seperti bayar sewa rumah, bil utiliti dan sebagainya
  • Duit simpanan
  • Duit untuk bayar hutang dan lain-lain

 

Mengasingkan duit mungkin agak remeh bagi sesetengah orang. Tapi sebenarnya dengan cara inilah yang paling berkesan untuk anda miliki simpanan. Yang penting, ada peruntukan untuk anda berbelanja tanpa sekat kemahuan dan dalam masa yang sama mampu buat simpanan.

 

Cara #2 Praktikkan cara kreatif dalam menyimpan

Seperti yang anda sedia maklum, ada banyak cara simpan duit yang kreatif yang wujud pada hari ini. Antara yang paling popular adalah mengumpulkan duit mengikut warna seperti warna biru, hijau, merah, hijau pekat mahupun ungu. Contohnya setiap kali ada duit hijau RM5, anda akan simpan ke dalam tabung khas duit hijau. Tapi pastikan anda tetapkan target tempoh untuk anda tengok berapakah hasil simpanan anda. Sama ada 6 bulan, setahun atau sebagainya.

 

Selain itu, ada juga ada yang simpan duit dengan menyimpan mengikut minggu. Kalau dalam setahun ada 52 minggu, maka anda boleh simpan mengikut bilangan duit yang ditetapkan setiap minggu.

 

Saya pernah juga terbaca satu perkongsian cara simpan duit menggunakan sampul berwarna. Setiap kali anda memilih satu sampul, sampul tersebut mewakili jumlah simpanan yang perlu anda simpan. Menarik bukan?

 

Ada juga dalam kalangan subscriber saya di Telegram Channel Ask Dr Adam Financial Tips kongsikan, setiap kali beliau jumpa duit syiling, duit tersebut akan disimpan dan satu masa akan digunakan untuk membeli emas seperti gold bar.

 

Banyak inspirasi yang ada di sekeliling anda untuk latih diri menyimpan dari bawah. Pilihlah cara yang paling anda selesa dan berkemampuan untuk buat.

 

Cara #3 Guna formula 80/10/10

Biasanya untuk pembahagian gaji supaya anda dapat simpan duit, ramai yang amalkan formula 50/30/20 iaitu 50% untuk keperluan. 30% untuk kemahuan. Dan 20% untuk simpanan dan pelaburan. Tapi, sepanjang saya berdepan dengan masyarakat di luar sana, terutama yang berpendapatan rendah, memang tidak praktikal untuk mereka menggunakan formula ini.

 

Jadi apa yang saya cadangkan ialah gunakan formula 80/10/10 iaitu 80% untuk keperluan, 10% untuk kemahuan, dan 10% untuk simpanan atau pelaburan. Saya juga pernah ulas panjang lebar tentang formula ini dalam bual bicara yang saya kongsikan di YouTube Channel Dr Adam Zubir

 

Dalam formula ini menunjukkan betapa simpanan tidak boleh diketepikan sama sekali walaupun anda bergaji rendah. Tapi yang paling menarik juga, anda masih boleh enjoy duit gaji anda supaya anda bersemangat untuk mencari rezeki. Apalah makna cari duit kalau bukan untuk kebahagiaan diri sendiri, betul tak?

 

Cara #4 Minta orang lain sebagai tukang simpan

Anda ada orang yang anda percaya untuk simpan duit anda?

 

Manfaatkan orang tersebut untuk anda lebih berdisiplin menguruskan duit. Terutama bab simpanan. Buat kata sepakat supaya anda tidak sewenangnya meminta semula duit yang telah disimpan. Nak simpan duit, anda tak boleh gunakan alasan yang tidak penting semata untuk keluarkan duit. Bila ada orang yang jadi tukang simpan, maksudnya anda ada orang yang akan mengingatkan anda setiap masa untuk buat simpanan.

 

Cara simpan duit ini mungkin agak berisiko apabila anda memilih orang yang salah untuk simpan duit anda. Maka, pilihlah orang yang bijak dan dipercayai.

 

Cara #5 Paksa menyimpan daripada tak ada langsung

Cara simpan duit yang terakhir sekali adalah cara yang paling berkesan untuk semua orang. Kadangkala memaksa diri untuk buat sesuatu akan mendatangkan hasil dan impak kepada simpanan anda. Kalau anda hanya mampu simpan RM5 sebulan pun sudah memadai daripada tak buat langsung.

 

Walaupun keadaan kewangan anda tidaklah baik seperti yang diimpikan, anda mesti ada rasa tanggungjawab terhadap masa depan anda sendiri. Paksa diri supaya menyimpan menjadi tabiat yang akan memberi manfaat kepada anda pada suatu hari nanti. Ingat pesan ini, simpan RM5 lebih baik daripada tak menyimpan langsung. Buatlah, anda akan berterima kasih kepada diri anda kerana memulakan tindakan ini dulu.

 

Secara kesimpulannya, nak ada simpanan yang banyak tidak semestinya anda perlu hadkan perbelanjaan bulanan. Walau apa sahaja situasi kewangan anda, apa yang anda perlukan hanyalah pendedahan kepada cara simpan duit yang paling berkesan. Supaya, anda boleh buat simpanan tanpa menjadikan alasan gaji sedikit sebagai penghalang. 

 

Semoga perkongsian kali ini dapat membakar semangat anda untuk terus membina simpanan. Buatlah simpanan walau sedikit yang anda mampu. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.