Cara Urus Kewangan Rumah Tangga

kewangan May 26, 2023

Situasi ekonomi yang tidak menentu menjadikan ilmu pengurusan kewangan satu aspek yang penting dalam kehidupan terutama bagi pasangan suami isteri.

 

Tahukah anda, purata kes penceraian setiap hari pada Januari 2020 hingga Jun 2020 adalah sebanyak 132 sehari kes penceraian dilaporkan?

 

Kita semua tahu, waktu itu satu dunia bergelut dengan wabak Covid-19. Tapi pergelutan yang lebih kritikal adalah berkaitan kewangan. Akibat tidak ada asas kewangan yang kukuh, penceraian jadi jalan keluar terakhir oleh kebanyakan pasangan yang berumahtangga. 

 

Oleh sebab itu, dalam artikel kali ini saya akan berkongsi tentang 5 cara urus kewangan rumahtangga supaya pengurusan kewangan anda terutama yang sudah berkahwin menjadi lebih kukuh dan stabil dalam mendepani cabaran masa depan.

 

Cara #1 Terbuka dalam berkomunikasi

Komunikasi sangat penting dalam hubungan suami isteri. Terutama bab kewangan rumahtangga. Anda kena bersikap terbuka dan jujur tentang matlamat kewangan dan kebimbangan masing-masing. Mungkin suami ada impian untuk bebas hutang, tapi isteri teringin nak pakai kereta mewah. Mungkin suami ada impian untuk ada simpanan persaraan 1 juta tapi isteri nak gelang emas sampai lengan. Dari sini anda nampak betapa pentingnya komunikasi. Sebab, suami isteri asalnya datang daripada dua latar keluarga yang berbeza. Anda dibesarkan dan dididik dengan cara yang berbeza. Sudah tentu ada perselisihan pandangan dalam menguruskan kewangan. Jadi, bagi mengelak salah faham, anda mesti cuba sedaya upaya untuk memahami keutamaan kewangan antara satu sama lain.

 

#Cara 2 Buat bajet perbelanjaan keluarga

Segelintir pasangan, tak suka buat bajet atau belanjawan keluarga. Sebab rasa mustahil akan ikut seperti yang dirancang. Tapi belum cuba belum tahu. Percayalah, kalau anda mula buat bajet dan disiplin, anda lebih yakin dalam mengurus kewangan rumahtangga.

 

Zaman sekarang makin canggih. Ada aplikasi yang bantu anda track perbelanjaan harian. Atau kalau anda jenis yang suka dokumentasi, boleh gunakan Google Sheets atau Microsift Excel. Terpulang kepada persetujuan anda suami isteri.

 

Dalam bajet, anda kena jelas berapa jumlah yang anda perlu letak untuk keperluan penting seperti rumah, utiliti, groceries dan bayaran hutang. Tak dilupakan, sertakan sekali matlamat seperti simpanan kecemasan, simpanan persaraan dan impian kewangan yang anda mahu capai bersama dalam bajet. Yang penting, sentiasa semak dan adjust bajet anda dengan kerap mengikut keperluan.

 

Cara #3 Mengurus hutang dengan strategi

Kalau anda suami isteri ada hutang tertunggak, bincangkan strategi untuk langsaikan hutang secepat mungkin. Kegagalan anda membayar hutang akan merosakkan rekod sebagai peminjam di “mata” bank.

 

Nak bayar hutang dengan cekap, anda boleh tonton video tentang 5 cara selesaikan hutang dengan cepat yang saya kongsikan di Youtube. Dalam urusan membayar hutang, anda perlu saling menyokong antara satu sama lain dan berjanji untuk tidak membuat sebarang hutang yang tidak penting. 

 

Cara #4 Bina simpanan kecemasan bersama

Simpanan kecemasan adalah perkara asas dalam kewangan. Anda tak boleh samakan simpanan kecemasa waktu anda single dengan simpanan kecemasan bila dah berumahtangga. Bila dah berumahtangga, kena amalkan kerjasama. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. 

 

Simpanan kecemasan bertujuan untuk menampung perbelanjaan yang tak dijangka. Contohnya, bil hospital atau kereta anda rosak. Mana nak korek duit kalau bukan dari simpanan kecemasan? Sebab itu, anda dan pasangan kena peruntukkan sejumlah duit dan masukkan ke dalam akaun yang anda berdua mudah untuk akses. Setiap orang kena jujur menyumbang bersama. Dan pastikan tujuan setiap kali hendak gunakan duit simpanan kecemasan ini, adalah kecemasan yang sebenar.

 

Cara #5 Pantau kewangan secara berkala

Urus kewangan dengan buat pantauan secara berkala. Anda dan pasangan mesti adakan masa untuk semak kewangan masing-masing. Kalau boleh, buat jadual untuk adakan mesyuarat keluarga. Sama ada sekali dalam sebulan, atau 3 bulan sekali. Ia terletak pada persetujuan masing-masing. Walau sesibuk mana anda bekerja, kunci utama untuk capai kewangan yang stabil adalah adakan masa untuk nilai dan perbaiki kewangan. Dengan cara ini, barulah anda nampak sejauh mana matlamat simpanan anda berjaya dicapai. Sejauh mana hutang anda berjaya diselesaikan. Dari tindakan ini akan melahirkan semangat juang yang tinggi untuk capai impian kewangan yang anda cita-citakan bersama.


Secara keseluruhannya, mengurus kewangan rumahtangga adalah tentang kerjasama dan tanggungjawab. Tanggungjawab ini tidak hanya terletak atas bahu sebelah pihak sahaja. Mesti keduanya sekali. Suami dan isteri. Berita tentang kes penceraian yang berlaku disebabkan masalah kewangan menjadi satu pengajaran buat kita semua. Binalah asas kewangan dan kukuhkan bersama. Jadikan 5 cara urus kewangan rumahtangga yang saya kongsi dekat atas sebagai pedoman.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.