Kelebihan dan Keburukan Kad Kredit

hutang Jun 23, 2022

 

Kad kredit merupakan suatu kemudahan pembayaran yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. Walaupun begitu, ada juga yang menganggap penggunaan kad kredit boleh merosakkan masa depan. Cuma, tidak adil rasanya menilai dari satu sudut sahaja kerana kad kredit bergantung kepada anda sebagai pengguna. Sama ada menjadikan kemudahan kad kredit sebagai manfaat atau masalah.

 

Pada asasnya, kad kredit membolehkan anda mendapatkan barangan atau perkhidmatan secara hutang. Nampak macam memudahkan, tapi kalau tersilap langkah boleh membawa anda ke dalam beban hutang yang berpanjangan.

 

Jadi, untuk mengelakkan anda berhutang secara tidak terkawal, artikel kali ini akan berkongsi lebih lanjut tentang kelebihan dan keburukan kad kredit supaya anda boleh menguruskan kewangan dengan bijak.



Sumber: Freepik

Kelebihan #1 Boleh dijadikan duit kecemasan

Secara umumnya, duit kecemasan sangat penting sekiranya berlaku apa-apa perkara yang tidak diduga. Bayangkan ada ahli keluarga anda jatuh sakit dan dikejarkan ke hospital. Anda pula dalam masa yang sama diberhentikan kerja dan bergantung pada simpanan yang terhad. 

 

Dalam situasi ini, dekat mana anda nak korek duit untuk membayar bil hospital yang tinggi sementara anda tidak mempunyai sumber pendapatan?

 

Di sinilah kad kredit boleh berperanan untuk anda mendapatkan duit dengan mudah. Kad kredit membolehkan anda membayar produk atau servis secara pinjaman atau hutang. Walaupun anda tidak ada duit dalam bank atau secara tunai, anda boleh membayar bil hospital dan keperluan hidup menggunakan kemudahan ini.

 

Kelebihan #2 Elak dari penipuan

Berbanding menggunakan tunai, transaksi menggunakan kad kredit lebih selamat. Sekiranya anda ditipu atau ada seseorang mencuri dan menggunakan kad kredit anda, anda boleh buat laporan dan bank akan menolak permintaan tersebut. Jika guna duit tunai, sudah pasti duit tersebut akan lesap jika dicuri dan ditipu.

 

Selain itu barang yang tidak menepati kepuasan anda juga, anda boleh dapatkan duit anda semula. Ini kelebihan kad kredit yang tidak ada dalam pembayaran elektronik lain.

 

Kelebihan #3 Universal acceptance

Anda boleh guna kad kredit di mana sahaja termasuk di dalam dan luar negara. Lebih-lebih lagi yang suka travel. Anda tidak perlu bawa duit yang banyak untuk anda berbelanja. Swipe kad kredit anda di mana sahaja kerana hampir seluruh dunia menerima pembayaran kad kredit. Berbeza jika anda menggunakan e-wallet atau medium pembayaran elektronik yang lain. Penggunaannya agak terhad dan tidak universal.

 

Kelebihan #4 Boleh bina laporan kredit

Analogi mudah jika seseorang pinjam duit daripada anda dan membayar tepat pada waktu yang dijanjikan, sudah semestinya masa akan datang anda akan senang hati memberi pinjaman lagi sebab anda percaya pada kawan anda tersebut.

 

Sama juga halnya dalam situasi ini. Memiliki kad kredit ibarat perjanjian anda bank. Bila sudah buat hutang, mestilah kena bayar balik. Disini bank akan menilai kredibiliti anda sama ada anda peminjam yang bagus atau tidak.

 

Persoalannya, bagaimana bank mengenalpasti anda peminjam yang bagus atau tidak?

 

Jawapannya melalui laporan kredit atau CCRIS. Jika aliran bayaran balik anda tiada sebarang tunggakan, sudah pasti bank akan suka beri pinjaman kepada anda lagi. Hal ini membuka peluang untuk anda menambah aset seperti membeli rumah pelaburan, membuat bisnes dan banyak lagi.

 

Kelebihan #5 Boleh dapatkan ganjaran

Ada banyak jenis kad kredit yang direka khas untuk pelbagai kategori pengguna seperti kad kredit petrol, cashback (pulangan tunai), mata ganjaran, travel dan macam-macam lagi. Jadi dengan memahami tabiat berbelanja dengan bijak, kad kredit yang anda pilih boleh memberi pulangan lumayan kepada anda.

 

Contohnya jika anda seorang yang banyak menghabiskan masa di jalan raya, kad kredit petrol boleh memberi manfaat seperti rebat, cashback dan diskaun-diskaun yang berkaitan.

 

Siapa tak suka dapat hadiah dan duit percuma?

 

Duit jimat, hati pun senang.

 

Namun, kad kredit yang ada pelbagai kelebihan ini boleh membawa keburukan kepada anda sebagai pengguna sekiranya tidak mengawal tabiat hutang dan berbelanja.


Kad kredit boleh menyebabkan bebanan hutang yang memudaratkan
Sumber: Freepik

Keburukan #1 Berbelanja lebih dari kemampuan

Anda mesti jelas, penggunaan kad kredit mempunyai limitasi melebihi pendapatan anda. Boleh jadi gaji anda hanya RM5,000 tetapi kemudahan kad kredit membolehkan anda berhutang sehingga RM10,000. 

 

Hal ini boleh menggalakkan anda untuk berbelanja melebihi pendapatan. Sebab anda sentiasa rasa ada duit untuk memenuhi keperluan dan kehendak.

 

Keburukan #2 Dikenakan interest

Kalau anda nak tahu, interest kad kredit adalah interest yang paling tinggi iaitu sebanyak 18% setiap tahun. Ia dikenakan apabila pengguna gagal membuat bayaran balik hutang kad kredit yang dibuat dalam tempoh yang ditetapkan. Bukan itu sahaja, ia turut mempengaruhi laporan CCRIS yang mencerminkan kredibiliti anda sebagai penghutang.

 

Keburukan #3 Boleh menyebabkan anda blacklisted.

Jangan sesekali bersikap lepas tangan terhadap hutang kad kredit kerana kesannya boleh menyebabkan anda blacklisted. Pada 2019, bank dunia telah mengeluarkan kenyataan bahawa 60% daripada individu yang muflis di Malaysia adalah dalam kalangan golongan milenial. Peratusan ini sangat membimbangkan di mana salah satu faktornya adalah tidak mampu membayar semula hutang kad kredit. Kesannya, golongan muda disekat dari mendapat manfaat untuk membeli rumah, kereta dan sebagainya kerana telah disenarai hitam oleh bank-bank di Malaysia.

 

Secara keseluruhannya, sebelum anda apply kad kredit anda perlu tahu kelebihan dan keburukan yang terdapat dalam sesuatu instrumen tersebut.

 

Setiap instrumen itu tidak semestinya dirangka memenangkan satu pihak sahaja. Bank mungkin boleh membuat keuntungan dari interest yang dikenakan sekiranya ada baki tertunggak. Tapi jika anda sejenis pengguna yang mengawal hutang, maka tidak akan wujud bebanan hutang dalam kamus hidup anda. Malah anda menikmati  kelebihan yang banyak seperti apa yang saya senaraikan di atas.

 

Jadi sebagai pengguna kad kredit yang bijak, anda mesti berfikir secara rasional dalam membuat hutang anda. Tidak mahu kemudahan menjadi masalah, maka berhutanglah secara terkawal demi masa depan yang lebih baik.

 

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.