5 Kelebihan Simpan Emas

ekonomi pelaburan simpanan Sep 12, 2025

 

Tabiat simpan emas bukanlah sesuatu yang baru. Sejak zaman dahulu lagi, emas menjadi aset pelindung kekayaan yang kekal relevan sehingga hari ini, baik untuk individu mahupun institusi perbankan. Apa yang lebih mengejutkan, menurut laporan World Gold Council, Bank Pusat China telah meningkatkan simpanan emasnya sehingga mencecah 2280 tan pada akhir tahun 2024. Malah sejak November 2022, China muncul sebagai antara pembeli emas paling aktif di dunia.

 

Persoalannya, apakah keistimewaan dan kelebihan emas sehingga bank pusat gergasi dunia sanggup menambah simpanan emas secara agresif?

 

Dalam artikel ini, saya akan bongkarkan 5 kelebihan simpan emas yang mungkin anda terlepas pandang.

 

Kelebihan # 1 Kalis Inflasi

Emas sering dianggap sebagai aset kalis inflasi kerana nilainya bergerak bertentangan dengan penyusutan kuasa beli wang tunai. Apabila inflasi meningkat, harga barang dan kos sara hidup juga meningkat, menyebabkan nilai mata wang semakin lemah. Tapi, emas kekal mempunyai permintaan tinggi di pasaran global dan bekalannya yang terhad menyebabkan harganya sentiasa meningkat. Inilah sebabnya emas dilihat sebagai pelindung kekayaan yang lebih stabil berbanding menyimpan tunai semata-mata.

 

Selain itu, sejarah juga membuktikan bahawa ketika berlaku krisis ekonomi atau ketidaktentuan pasaran, pelabur akan beralih kepada emas sebagai “safe haven”. Situasi ini mendorong harga emas naik seiring inflasi, sekali gus membantu mengekalkan atau meningkatkan nilai simpanan pemiliknya. Oleh itu, menjadikan emas sebahagian daripada simpanan adalah strategi bijak untuk melindungi harta daripada terhakis oleh inflasi jangka panjang.

 

Kelebihan #2 Instrumen Pelaburan

Emas merupakan salah satu instrumen pelaburan terbaik untuk jangka masa panjang. Walaupun kenaikannya mungkin tidak secepat saham atau kripto, emas terbukti lebih stabil. Data menunjukkan bahawa emas sentiasa meningkat nilainya dalam tempoh jangka masa panjang, walaupun ada turun naik dalam jangka masa pendek.

 

Contohnya, kalau nak dibandingkan harga emas 20 tahun dahulu dengan sekarang, nilainya meningkat berlipat kali ganda. Sebab itu, tabiat menyimpan emas sesuai bagi anda yang ingin menjadikan emas sebagai aset pelaburan dalam jangka masa panjang.

 

Kelebihan #3 Emas sebagai aset

Berbeza dengan wang tunai yang anda sering gunakan sekarang, emas adalah sejenis aset fizikal yang mempunyai nilai yang tersendiri. Kalau mata wang sesuatu negara muflis, mata wang negara tersebut tidak laku dan diterima oleh mana-mana institusi bank di dunia. Tapi sebaliknya bagi emas, ia boleh dijual beli di seluruh dunia dan diterima secara universal.
Malah, ada orang menjadikan emas sebagai :

 

  • Aset cagaran atau gadaian untuk mendapatkan modal atau pinjaman.

  • Harta pusaka kepada keluarga kerana nilainya terjamin dari generasi ke generasi.

 

Ini menunjukkan tingginya nilai emas sebagai sebuah aset kepada orang yang menyimpannya. Anda juga mungkin salah seorang daripadanya.

 

Kelebihan #4 Elak boros ketika berbelanja

Salah satu kelebihan besar emas adalah sifatnya yang tidak mudah dicairkan. Kalau anda menyimpan wang tunai di bank, ia boleh dikeluarkan dan dibelanjakan pada bila-bila masa. Tapi dengan emas, anda perlu menjualnya dahulu sebelum mendapatkan wang tunai.

 

Proses ini membuatkan anda berfikir dua kali sebelum berbelanja, sekaligus membantu mengurangkan tabiat boros berbelanja dan pembelian secara impulsif. Perkara ini seolah-olah seperti membekukan duit anda dalam bentuk emas untuk menjadikannya lebih selamat dan sukar diusik. Cara ini sangat praktikal terutama bagi anda yang sukar untuk mengawal nafsu berbelanja yang tinggi.

 

Kelebihan #5 Mata wang sebenar

Emas telah diiktiraf sebagai mata wang sebenar sejak beribu tahun dahulu. Tamadun Mesir, Rom, India, China dan banyak lagi pernah menggunakan emas sebagai medium pertukaran.

 

Walaupun dunia hari ini banyak menggunakan wang tunai atau wang digital, emas tetap dianggap sebagai ‘real money’. Nilai emas tidak bergantung kepada kerajaan atau bank pusat, sebaliknya ia bernilai kerana sifat fizikalnya yang terhad dan sukar diperoleh. Inilah yang menjadikan emas sebagai mata wang sebenar yang relevan sepanjang zaman.

 

Kesimpulannya, menyimpan emas merupakan satu langkah bijak untuk anda melindungi harta dan menambah nilai simpanan jangka panjang. Emas bukan sekadar trend, tapi telah terbukti sebagai strategi kewangan yang mampu bertahan sepanjang zaman.

 

Bahkan, Bank Pusat China sendiri turut mengiktiraf kepentingan emas dengan menambah jumlah simpanan emas dalam rizab mereka. Kalau sebuah negara dengan kuasa besar pun memilih emas sebagai pelindung nilai, apatah lagi anda sebagai individu biasa.

 

Sudah tiba masanya anda mula mempertimbangkan emas sebagai sebahagian daripada simpanan jangka panjang.

 

Semoga perkongsian ini membuka minda anda tentang kelebihan menyimpan emas 😉

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.