5 Kesilapan Semasa Beli Kereta

hutang income orang muda Jul 09, 2025

 

Kereta bukan aset, tapi kenapa ada yang sanggup ‘ikat hutang’ sampai 7-9 tahun untuk beli kereta?

 

Mungkin anda beranggapan memiliki kereta satu pencapaian besar untuk seseorang, tapi kalau ia membebankan kewangan, itu bukan pencapaian. Tapi suatu kegagalan. Saya tak mahu anda menyesal di kemudian hari sebab membeli kereta bukan satu keputusan kecil. Silap beli kereta, boleh jejaskan cashflow dan simpanan anda.

 

Oleh sebab itulah panduan tentang 5 Kesilapan Semasa Beli Kereta ini penting untuk anda. Teruskan membaca sampai habis!

 

Kesilapan #1 Tidak ukur kemampuan kewangan

Ada orang bila bank luluskan pinjaman kereta, mereka fikir mereka layak untuk miliki apa saja jenis kereta. Sedangkan, ia tidak begitu. Anda sebenarnya ada pilihan untuk pilih kereta yang di bawah kemampuan. Jangan terikut-ikut dengan ‘racun’ sales agent atau kawan-kawan. Ini melibatkan kewangan anda. Jadi anda patut pentingkan kemampuan diri berbanding cadangan orang lain.

 

Dalam artikel sebelum ini, saya ada kongsikan formula 20/5/15 sebagai panduan mudah untuk ukur kemampuan beli kereta. Boleh rujuk semula di sini. Kalau anda nak bergaya dengan kereta idaman yang berharga ratusan ribu atau jutaan ringgit, boleh, tiada siapa yang melarang. Tapi perlu ingat, ia boleh menjerat aliran tunai anda selama bertahun-tahun dan buatkan anda terbeban dalam kewangan.

 

Kesilapan #2 Tidak buat perbandingan model dan harga kereta

Bila dah terlalu minat satu kereta, anda berpotensi ‘pejamkan mata’ dan pilih untuk tak nak pertimbangkan model kereta lain. Sedangkan anda tahu banyak pilihan lain dengan harga yang lebih kurang sama. Apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menyenaraikan model kereta dengan harga yang hampir sama, kemudian bandingkan kelebihan dan kekurangan setiap model kereta tersebut. Antara perkara yang anda boleh tengok untuk buat perbandingan model kereta:

  • Diskaun / rebat yang diberikan
  • Reka bentuk dalaman kereta
  • Penggunaan minyak
  • Servis dan kos penyelenggaraan
  • Ketahanan dan kualiti
  • Susut nilai

 

Selepas anda pertimbangkan beberapa perkara seperti di atas, barulah anda buat keputusan untuk beli kereta. Anggaplah nak beli kereta ini seperti anda pilih pasangan hidup, jangan terus ‘beli’ sebelum betul-betul kenal.

 

Kesilapan #3 Tidak buat survey pinjaman kereta

Setiap bank menawarkan kadar faedah dan keuntungan yang berbeza bergantung kepada jenis kereta dan tempoh pinjaman anda. Kalau anda bijak dan luangkan sedikit masa untuk cari bank yang boleh beri pinjaman dengan kadar faedah dan keuntungan yang rendah, itulah yang terbaik.

 

Kesilapan #4 Tidak buat pandu uji kereta

Proses pandu uji sangat penting sebelum anda buat tindakan untuk beli kereta. Tidak kira anda nak beli kereta baharu ataupun kereta terpakai. Janganlah anda beli kereta sebab cantik semata. Ini antara panduan yang anda boleh buat semasa pandu uji kereta:

  • Kawalan stereng
  • Pertukaran gear
  • Kawalan brek
  • Kadar pecutan
  • Keadaan di selekoh ketika membelok

 

Nak pandu kereta bukan sehari dua, tapi untuk bertahun-tahun. Setiap orang ada gaya pemanduan berbeza dan tahap keselesaan juga tak sama.

 

Kesilapan #5 Ambil ringan tentang takaful kereta

Segelintir orang bila mencarum takaful atau beli insurans kereta, akan pilih polisi yang paling murah. Asal cukup syarat. Tapi bila berlaku kemalangan atau perkara yang tak diingini, baru anda sedar rupaya takaful yang anda carum selama ini tidak melindungi kerugian anda. Kalau anda nak tahu, ada 3 jenis polisi takaful kereta iaitu:

  1. Komprehensif
  2. Pihak ketiga, kebakaran dan kecurian
  3. Pihak ketiga

 

Ketiga-tiga jenis polisi ini ada kapasiti perlindungan yang berbeza, oleh itu pastikan anda pilih takaful yang betul supaya tak menyesal di kemudian hari.

 

Kesimpulannya, beli kereta memang akan datangkan perasaan yang sangat mengujakan. Tapi hakikatnya, beli kereta juga bermakna anda telah menambah komitmen baharu. Ia mungkin akan menghantui anda selama 5 hingga ke 9 tahun. Selepas anda beli kereta baharu juga harga kereta terus akan jatuh kerana susut nilai. Oleh itu, jangan kerana keinginan yang tinggi menyebabkan anda tersepit dalam ‘paycheck to paycheck’ setiap bulan.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.