Pengeluaran KWSP : 3 Tips Kukuhkan Tabung Persaraan

kwsp Apr 01, 2022

Pengeluaran KWSP untuk tujuan memulihkan ekonomi masyarakat di kala pandemik Covid-19 bukan suatu isu yang boleh dipandang remeh. Walaupun inisiatif ini memberi kelegaan terhadap kitaran ekonomi, jangan kita lupakan pengurangan tabung persaraan yang berlaku.

 

Impak yang luar biasa terhadap tabung persaraan ahli terjadi asbab pengeluaran KWSP sebanyak 4 kali sepanjang 2 tahun ini. KWSP juga menyuarakan kebimbangan terhadap pengurangan yang berlaku sejak Disember 2021 dengan menyebut 6.1 juta ahli memiliki baki kurang daripada RM10,000 untuk menyara kehidupan semasa persaraan nanti.

 

KWSP juga menganggarkan untuk mencapai semula simpanan asas iaitu RM240, 000 ketika umur 55 tahun pada masa hadapan, ahli perlu bekerja 4-6 tahun lagi untuk mengukuhkan tabung persaraan.

 

Adakah ini yang kita semua mahukan?

 

Saya pasti, ramai dalam kalangan kita semua tidak mahu bekerja keras sehingga lanjut usia. Pada waktu itu, tenaga kita sudah berkurang, peluang pekerjaan semakin terhad dan kita akan cenderung menghabiskan masa dengan orang tersayang.

 

Namun, adakah kita benar-benar bersedia menempuh alam persaraan ketika kita berusia 55 dan 60 tahun dengan jumlah tabung kurang RM10,000 sahaja?

 

Artikel pada kali ini saya akan berkongsi dengan anda bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran KWSP yang berlaku dengan 3 Tips Kukuhkan Tabung Persaraan.


Duit simpanan untuk persaraan

Tips #1 Mesti mula menyimpan untuk persaraan

Kini, orang ramai sudah kembali bekerja seperti sedia kala. Jadi prioriti yang sepatutnya adalah mula menyimpan walau sedikit untuk gantikan semula duit yang anda gunakan semasa negara berdepan krisis.

 

Sewaktu pandemik, ramai yang merungut gaji bulanan terpaksa dipotong dan kita lihat beberapa sektor terjejas teruk sehingga melumpuhkan pendapatan. Langkah kerajaan dalam membina ekonomi semula merupakan signal untuk anda memberi fokus ke arah mengukuhkan tabung persaraan yang telah digunakan. Anda boleh topup duit anda dalam KWSP atau boleh menambah ke instrumen pelaburan seperti Private Retirement Scheme (PRS) untuk mempelbagaikan portfolio pendapatan semasa persaraan.

 

KWSP dan PRS merupakan dua instrumen yang terbaik untuk anda disiplin dan konsisten menabung untuk hari tua. Antara keistimewaan kedua-dua instrumen ini ialah “lock in period” yang ditetapkan. Anda sama sekali tidak dibenarkan untuk mengeluarkan simpanan yang dibuat untuk tujuan peribadi sehingga tempoh yang dibenarkan. Selain itu, instrumen ini juga menawarkan pulangan berbentuk dividen yang agak kompetitif. Sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap duit anda sendiri, pilihlah platform yang memberi kesejahteraan masa depan persaraan anda.


Tabung Haji dan ASB : tempat alternatif untuk pelbagaikan simpanan persaraan

Tips #2 Simpan duit di tempat yang beri pulangan

Selain KWSP, cuba anda kenal pasti dan pelbagaikan medium simpanan yang beri pulangan dari sudut dividen. Paling asas untuk mereka yang tidak ada pengetahuan langsung tentang pelaburan, boleh simpan ke tempat yang kurang berisiko seperti ASB dan Tabung Haji. Pulangan yang diberikan setiap tahun mungkin tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya ia memberi dividen yang konsisten untuk anda.

 

Berbanding anda menyimpan duit di bawah bantal, dalam tabung peribadi mahupun dalam bank, ia sama sekali tidak memberi pulangan dan meningkatkan jumlah simpanan. Secara ringkasnya, jika anda simpan 10 ribu dalam masa 10 tahun di rumah anda, anda tetap mempunyai jumlah yang sama. Tetapi jika duit 10 ribu itu diletak dan disimpan dalam ASB dengan pulangan 5% setiap tahun misalnya, pulangan dividen yang konsisten boleh meningkatkan jumlah tersebut sehingga hampir 17 ribu.

 

Seronok kan dapat diversify dan kukuhkan tabung persaraan dari sekarang?

 

Dengan tabung persaraan yang kukuh, anda boleh bayangkan kehidupan yang damai dan hati yang tenteram dengan aliran pendapatan yang selamat untuk anda meneruskan kehidupan tanpa bekerja.


Dua orang sedang belajar tentang graf saham sebagai instrumen pelaburan

Tips #3 Belajar ilmu pelaburan

Pandemik Covid-19 mengajar kita satu perkara yang sangat penting iaitu simpanan kecemasan untuk persediaan hari mendatang. Bukan itu saja, anda juga perlu mempersiapkan diri dengan belajar ilmu pelaburan untuk mengukuhkan kewangan terutama tabung persaraan.

 

Belajar tentang kewangan adalah proses untuk anda memperbaiki “dosa-dosa” kewangan dan meningkatkan kualiti pendapatan. Dengan belajar sahaja anda boleh membendung tabiat buruk apabila menggunakan duit lebihan yang ada. 

 

Kenapa ilmu pelaburan sangat penting?

 

Duit lebihan sepatutnya dilaburkan, bukan dileburkan. Ilmu pelaburan berpotensi menggandakan duit yang anda ada. Kita tidak mahu anda hanya pandai bekerja untuk dapatkan duit tetapi anda kena pandai memastikan duit yang anda peroleh boleh digandakan untuk masa depan anda.

 

“The best time to invest is right now”

 

Masa yang ada, anda perlu manfaatkan untuk belajar. Jangan malas untuk buat perubahan. 

 

Secara keseluruhan, pengeluaran KWSP yang berlaku boleh dikukuhkan dengan membuat beberapa tindakan yang boleh mengukuhkan tabung persaraan. Untuk mereka yang tiada tabung persaraan lagi, anda masih belum terlambat. Sekarang adalah masa terbaik untuk anda belajar dari kesilapan yang dulu. Seperti kita tidak menjangka berlaku kelembapan ekonomi akibat wabak Covid-19, sama juga halnya kita tidak mampu meramal masa depan tanpa persediaan tabung persaraan kelak. 

 

Semoga bermanfaat!

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.