PM Anwar beri hadiah RM100 - Ini cara anda manfaatkannya

 

Pada 23 Julai 2025, bantuan SARA untuk Semua telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Seramai 22 juta rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas layak untuk menerima bantuan sebanyak RM100 (one-off) secara individu tanpa mengira tangga gaji pendapatan. Pemberian ini akan diberikan melalui MyKad bermula 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025. Bantuan ini boleh digunakan untuk membeli barangan asas di 4,100 kedai terpilih seluruh negara.

 

Berikut merupakan 14 kategori item yang boleh dipilih melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua:

 

SARA Untuk Semua - RM100

Sumber : MyKasih

 

Persoalannya sekarang, bagaimana anda boleh memanfaatkan sumbangan RM100 ini dengan lebih bijak?

 

Sebab itu dalam artikel ini, saya akan kongsikan 5 cara mudah untuk anda memanfaatkan bantuan tersebut dengan sebaiknya.

 

Cara #1 Rancang perbelanjaan sesama ahli keluarga

Antara kelebihan mempunyai ramai ahli keluarga yang berusia 18 tahun ke atas ialah anda boleh menggunakan jumlah bantuan dengan lebih banyak.

 

Contohnya, kalau ada 5 orang yang layak dapat bantuan, bermakna satu keluarga ada extra RM500 untuk belanja barang rumah. Dekat sini anda dan ahli keluarga boleh rancang barang apa yang hendak dibeli dan boleh dimanfaatkan bersama-sama.

 

Tips: Elakkan daripada membeli barang yang sama supaya bantuan RM100 itu dapat digunakan semaksimum mungkin.

 

Cara #2 Buat senarai barang yang perlu dibeli

Selepas mengetahui jumlah bantuan yang boleh digunakan, langkah seterusnya ialah menyenaraikan barangan yang hendak dibeli. Ini membantu anda mengutamakan keperluan sebenar dan mengelakkan pembaziran.

 

Senarai ini juga memudahkan anda untuk mengira jumlah perbelanjaan dengan lebih tepat. Contohnya, kalau anda ada RM100 untuk dibelanjakan, anda boleh buat anggaran berapa harga telur 1 papan, minyak 1 kg, biskut 1 paket, beras 5kg dan barang keperluan yang lain untuk tampung keperluan bulanan anda.

 

Tips: Senaraikan barang dalam aplikasi atau buat senarai di atas kertas sebelum berbelanja

 

Cara #3 Beli barang kering dan tahan lama

Barangan kering seperti beras, tepung, mi segera, dan makanan dalam tin antara pilihan terbaik kerana ia tahan lama serta mudah disimpan. Pilihan ini sangat membantu terutamanya bagi pelajar universiti atau anda yang tinggal di asrama dan berjauhan daripada ahli keluarga.

 

Dengan stok barangan asas yang mencukupi, anda dapat mengurangkan kekerapan membeli barang keperluan. Ini bukan sahaja menjimatkan masa dan tenaga, malah memastikan RM100 bantuan kerajaan dimanfaatkan untuk kegunaan jangka masa panjang.

 

Cara #4 Utamakan barang keperluan

Daripada 14 kategori barang yang dibenarkan, anda boleh bahagikan ia kepada empat kumpulan besar iaitu makanan, barang kebersihan, ubat-ubatan dan barang keperluan sekolah. Ini membantu anda fokus kepada barang yang paling penting mengikut situasi keluarga atau diri sendiri.

 

Contohnya, ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah boleh memanfaatkan bantuan ini untuk membeli pakaian atau barangan persekolahan bagi sesi 2026. Disebabkan bantuan ini boleh digunakan bermula 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025, anda boleh tentukan barang mana yang lebih penting dan utama supaya RM100 dapat digunakan dengan sebaiknya sebelum tarikh tamat bantuan diberikan.

 

Cara # 5 Simpan duit lebihan

Bila dapat RM100 daripada kerajaan bermakna anda ada lebihan duit dalam bajet bulanan. Lebihan ini boleh disimpan dalam tabung simpanan seperti Tabung Haji, ASB, SSPN-i dan tempat berisiko rendah yang boleh beri dividen tahunan.

 

Langkah ini bukan sahaja membantu anda menjimatkan duit, malah dapat membina tabiat kewangan yang sihat untuk masa depan. Menguruskan lebihan duit dengan bijak memberikan manfaat jangka panjang dan menjadikan RM100 ini sebagai permulaan untuk kewangan yang lebih kukuh.

 

Oleh itu, saya pasti anda sangat gembira dapat menerima bantuan SARA untuk Semua - RM100 daripada kerajaan. Manfaatkan peluang ini dengan sebaiknya untuk mengurangkan kos barang dapur, meringankan beban kewangan dan praktikkan pengurusan kewangan yang bijak.

 

Gunakan setiap sen dengan penuh kesedaran dan teruslah menambah ilmu kewangan supaya anda bukan sahaja bijak berbelanja, tetapi juga bersedia untuk membina kewangan yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.