5 Tips Simpan RM100K Pertama

simpanan Apr 14, 2026

Impian miliki simpanan RM100K pertama bukanlah suatu perkara yang mustahil malah ia sangat penting bagi anda yang nak mula bina asas kewangan dengan stabil. Kejayaan anda memperoleh RM100K pertama akan membuktikan bahawa anda mempunyai disiplin mengurus kewangan yang tinggi.

 

Walaupun ada yang beranggapan perjalanan untuk capai RM100K pertama ini akan mengambil masa yang lama, tapi percayalah dengan usaha, tekad dan strategi yang betul matlamat ini pasti boleh dicapai. Sebenarnya anda sangat bertuah sebab dalam entri kali ini, saya akan kongsikan 5 tips simpan RM100K pertama agar matlamat dan cita-cita anda dapat direalisasikan dengan lebih terpandu.

 

Tips #1 Tetapkan matlamat simpanan yang realistik

Kalau anda baru nak berjinak untuk belajar menyimpan, tetapkan target dengan cara membahagikan jumlah mengikut tempoh yang anda mahukan. Contohnya:

 

No Simpanan Sebulan Jumlah Simpanan Setahun Tempoh untuk capai RM100K
1. RM500 RM6,000 16 tahun 8 bulan
2. RM750 RM9,000 11 tahun 2 bulan
3. RM1,000 RM12,000 8 tahun 4 bulan
4. RM1,500 RM18,000 5 tahun 6 bulan

 Jadual 1

Dari sini anda boleh menilai dengan jelas adakah anda mampu untuk membuat komitmen simpanan atau perlu melaraskan lagi tempoh untuk mencapai RM100K mengikut kemampuan. Yang pasti anda kena sentiasa ingat, matlamat simpanan yang realistik perlu dirancang. Ia tidak berlaku secara spontan.

 

Tips #2 Paksa diri menyimpan

Antara cara mudah untuk memaksa diri menyimpan adalah dengan membuat potongan auto-debit setiap bulan daripada akaun bank gaji anda. Cara ini sangat sesuai bagi anda yang liat untuk menyimpan dan nak memudahkan impian anda untuk capai simpanan RM100K pertama.

 

Sekarang dah banyak platform yang tawarkan servis auto-debit seperti ASNB, Tabung Haji dan servis perbankan yang ada di Malaysia. Kalau anda sejenis yang susah berdisiplin untuk simpan duit, kaedah auto-debit sangat praktikal untuk anda.

 

Tips #3 Elakkan upgrade lifestyle walaupun gaji naik

Memang tidak dapat dinafikan, bila gaji meningkat perasaan untuk naik taraf gaya hidup pun membuak-buak. Mana tidaknya, zaman sekarang ada banyak benda yang menduga nafsu dan keinginan anda. Lagi - lagi bila amalan beli kopi, matcha dan ayam gepuk menjadi gaya hidup masyarakat hari ini. Sebab itu penting untuk anda amalkan ‘delay gratification’.

 

Mungkin anda rasa sedikit terbeban kerana perlu menundakan keinginan anda pada hari ini. Tapi percayalah bila anda berjaya capai simpanan RM100K yang pertama dalam akaun simpanan, ada akan rasa suatu kepuasan dan keseronokkan yang sangat menarik. Bukan itu saja target menyimpan RM100K pertama bantu anda membina tabiat dan disiplin yang baik.

 

Tips #4 Laburkan duit anda

Antara kerugian paling besar yang ramai orang terlepas pandang adalah simpan duit dalam bank yang tidak memberi sebarang pulangan. Kenapa saya kata rugi? Sebab bila simpan duit dalam bank, duit anda tidak ada pertambahan dan statik sahaja. Sedangkan setiap tahun berlaku inflasi yang ‘curi’ duit anda tanpa sedar

 

Sebab itu, anda sepatutnya menyimpan duit sekurang-kurangnya dalam instrumen berisiko rendah atau sederhana seperti Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB), simpanan tetap atau money market fund. Bila anda simpan duit dalam instrumen ini, anda akan dapat dividen setiap tahun yang mana sedikit sebanyak dapat bantu mempercepatkan lagi impian anda untuk capai simpanan RM100K yang pertama.

 

Saya beri contoh kalau anda simpan duit dalam instrumen pelaburan yang boleh beri pulangan 5% setahun, apa akan jadi dengan simpanan anda:

 

No Simpanan Sebulan

Jumlah Simpanan Setahun (selepas dividen 5%)

Tempoh untuk capai RM100K (termasuk compounding)

1. RM500 RM6,300 12 tahun 2 bulan
2. RM750 RM9,450 8 tahun 11 bulan
3. RM1,000 RM12,600 7 tahun
4. RM1,500 RM18,900 4 tahun 11 bulan

 Jadual 2

 

Kalau anda bandingkan Jadual 1 & 2, anda boleh lihat perbezaan tempoh simpanan untuk capai simpanan RM100K pertama lebih cepat bila anda laburkan duit dalam instrumen pelaburan.

 

Tips #5 Bina pendapatan tambahan

Bak kata pepatah bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Zaman sekarang , tak cukup dengan anda hanya ada satu sumber pendapatan sahaja. Penting untuk anda tambah sumber pendapatan lain selain daripada kerja hakiki yang sedia ada supaya anda dapat capai jumlah simpanan sehingga RM100K dalam masa yang lebih singkat.

 

Kalau anda nak cari idea untuk buat side income, boleh klik di sini.

 

Akhirnya, perjalanan menuju simpanan RM100K pertama bukan soal angka semata-mata, tetapi tentang membina tabiat kewangan yang matang, konsisten dan selari dengan masa depan yang anda impikan. Saya doakan semoga hasrat anda nak ada simpanan RM100K pertama tercapai dan dipermudahkan.

Close

50% Complete

Two Step

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipiscing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua.